Sunday, 24 June 2012

PERANAN HATI YANG SEJAHTERA DI MAHSYAR

Rasulullah bersabda:  "Allah SWT akan menimbang segala amalan di Akhirat. Barang siapa yang amal kebaikannya lebih berat, walaupun sebesar telur kutu, akan dimasukkannya ke dalam syurga  adapun orang yang berat amal kejahatannya, walaupun seberat telur kutu, nescaya akan dimasukan ke dalam neraka.  Sekiranya antara amal baik dan amal buruk itu sama berat dalam timbangan, maka orang itu akan dihantar ke suatu tempat bernama Al-A'araf, mereka tidak akan masuk ke syurga dan tidak juga ke neraka."

Kemudian Nabi SAW membaca firman Allah SWT dalam surah Al-A'raf ayat 8-9: "...Maka barang siapa yang berat timbangan kebaikannya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya (beruntung).  Dan sesiapa yang ringan timbangan kebaikannya maka mereka itulah orang yang merugikan dirinya sendiri.

Nabi SAW membaca ayat 9 surah yang sama bagi menjelaskan bahawa orang yang ringan timbangan kebaikannya adalah mereka yang telah merugikan dirinya sendiri.  Ertinya, manusia yang tidak berusaha di dunia untuk membuat sebanyak kebaikan dan kebajikan, telah berusaha menjerumuskan diri ke lembah kerugian yang dapat dirasai sebaik sahaja diketahui bahawa timbangan kebaikan mereka ringan dan mereka pasti akan dihumbankan ke dalam neraka.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang masyhur: "Ketahuilah bahawasa di dalam jasad itu ada seketul darah, jika baik  maka baiklah seluruh jasad, jika rosak maka rosaklah seluruh jasad:  Ketahuilah bahawa ia adalah "hati".

Hati menggerakkan segala tindakan.  Hati yang sejahtera akan mendorong seluruh anggota melakukan kebaikan.  Hati mendorong supaya melaksanakan ibadah kepada Allah SWT, sama ada ibadah wajib atau ibadah yang sunat.  Hati yang sejahtera menyebabkan seseorang itu jadi pemurah,dermawan dan bertimbang rasa, memberikan pertolongan terhadap golongan yang fakir dan miskin serta memerlukan bantuan.

Akan tetapi hati yang rosak akan mendorong seseorang melakukan kerosakan, maksiat dan kejahatan.  Sesungguhnya segala pelakuan jahat dan munkar itu pada hakikatnya adalah jelmaan dari hati yang fasad. Justeru, hubungan Mukmin dengan Allah SWT itu mesti lah bermodalkan hati yang murni supaya mereka sentiasa melakukan sesuatu kebaikan yang akan memberatkan timbangan di Akhirat.

Timbangan yang disediakan oleh Allah SWT di akhirat kelak walaupun teramat besar sehingga boleh memuatkan bumi dan langit di dalam setiap ceper atau piringnya tetap amat sensitif walaupun bagi amal seberat debu yang berterbangan.

Ka'ab bin Akhbar meriwayatkan:  "Ada dua orang sahabat karib di Akhirat, seorang daripada nya diheret oleh malaikat Zabaniah ke dalam neraka kerana  timbangan amal kejahatannya lebih berat sedikit berbanding dengan amal kebaikannya.  Lalu timbullah rasa belas di hati rakannya dan ingin membantunya.  Disebabkan dia mempunyai lebihan satu amal kebajikan yang menyebabkan dia masuk ke syurga maka dia menyerahkan satu kebajikan kepada rakan karibnya itu supaya terselamat daripada api neraka".

Pada saat yang begitu mencemaskan, dia masih ingin membuat kebaikan kerana dengan menyerahkan satu kebajikan, dia akan dapat menolong sahabat karibnya walaupun dengan ketiadaan satu kebajikan itu menyebabkan dia tidak masuk ke syurga sebaliknya akan menjadi As-habul A'araf.  Dia reda menjadi As-habul A'araf demi persahabatannya yang terjalin erat di dunia dahulu.

Meskipun tidak diketahui dari mana riwayat itu diambil oleh Kaab bin Akhbar, namun Kaab adalah sahabat Nabi SAW.  Apa yang penting untuk diambil pelajaran daripada riwayat itu ialah pentingnya seseorang itu mendidik hati sehingga menjadi hati yang sejahtera (qalbun salim).