Saturday, 14 January 2012

TRAGEDI AKHIRAT

"Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dashyat).  Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban (yang dikandung) nya.  Dan manusia bertanya:  "Mengapa bumi (menjadi begini)?"  Pada hari itu bumi menceritakan beritanya.  Kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang sedemikian itu) kepadanya.  Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam, keadaan bermacam-macam supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka."  Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, pasti dia akan melihat (balasan) nya.  Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, pasti dia akan melihat (balasan) nya pula.
Surah al-Zalzalah ayat 1-8

Gambaran tragedi kiamat telah diungkapkan dengan terperinci dalam al-Quran, sehingga manusia dapat berimaginasi tentang kedahsyatan peristiwa kiamat nanti.  Peristiwa ini dirincikan dalam surah tersebut sehingga menggetarkan hati insan-insan yang mampu memahami isi kandungan al-Quran dengan baik.  Tidak hairanlah jika hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tarmizi, Rasulullah SAW menyebutkan bahawa surah al-Zalzalah setara dengan separuh daripada al-Quran. 

Ayat terakhir daripada surah ini agak luar biasa pengertiannya.  Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra.  Nabi Muhammad SAW menyebutkan bahawa ayat ini, "Suatu lafaz tapi menyeluruh."  Abdullah bin Mas'ud ra. menyebutkan, "Ayat tersebut merupakan ayat al-Quran yang luar biasa dan tegas maknanya."

Diciptakan manusia sebagai kalifah yang memimpin diri, keluarga, masyarakat dan daulah.  Sudah pasti dalam melaksanakan tugas memimpin itu pelbagai perkara akan dilakukan manusia.  Peringatan dan amaran daripada Allah SWT bahawa setiap amal dan perbuatan  walau sekecil zarah akan dibalas buruk baiknya . Manusia wajar berhati-hati dan teliti mengisi masa, membelanjakan harta, melakuan kebajikan dan memegang amanah.  Setiap sisi akan ditanya sehingga jawapan yang memuaskan diterima oleh yang Maha Adil lagi Bijaksana.  Seandainya seluruh hidup bergelumang dengan politik wang, kronisme, nepotisme, salah guna kuasa, pecah amanah dan seribu satu jenayah alaf ini, bayangkanlah zarah-zarah kecil tadi akan membengkak menjadi bongkah besar yang mengheret kita ke lembah neraka jahannam.  Na'uzubillah.



No comments:

Post a Comment