Ibu bapa professional boleh diertikan sebagai "ibu bapa yang mempunyai kemampuan serta kemahiran melaksanakan tanggungjawab keibubapaan kepada anak-anak secara yang cekap lagi teratur." Secara dasarnya, bagi melaksanakan tugas ini, ibu bapa memerlukan ilmu yang mantap, sikap yang betul serta kemahiran yang jitu.
Dalam surah Luqman, diutarakan beberapa kaedah penting berhubung dengan pendidikan anak-anak. Antara kaedah ini adalah:
1. Mendidik berbekalkan hikmat. Dalam surah Luqman ayat 12, Tuhan menjelaskan bahawa Luqman dikurniakan hikmat. Iman Ibn Kathir mentafsirkan hikmat sebagai "kefahaman, ilmu dan tadbir (iaitu pengurusan yang baik)." Justeru, ibu bapa perlu menguasai dan memahami ilmu, terutamanya ilmu agama berlandaskan Quran dan sunah. Penguasaan ini perlu disusuli dengan pengurusan hidup yang baik. Tanpa ilmu dan kefahaman, ibu bapa menjadi seperti musafir yang berjalan tanpa peta.
2. Komunikasi berkesan. Luqman menasihati anaknya secara terus tanpa rasa kekok. Ini menunjukkan, bapa memainkan peranan yang penting dalam pendidikan anak-anak. Semasa memberikan nasihat, Luqman menggunakan perumpamaan bagi memudahkan kefahaman. Ini dapat dilihat dalam surah Luqman ayat 16 dan 19. Di samping itu, beliau menentukan keutamaan seperti yang dinyatakan dalam surah Luqman ayat 17. Ini menunjukkan Luqman mempunyai kemahiran berkomunikasi. Antara aspek penting yang perlu ada semasa berkomunikasi adalah kelembutan. Mengikut Imam Ahmad dan Baihaqi, nabi berkata, "Jika Allah menghendaki kebaikan bagi sesebuah keluarga di berikan sifat lemah lembut dalam keluarga itu."
3. Menekankan akidah. Berhubung dengan ini, Luqman menjelaskan, apabila ada suatu benda yang kecil seperti biji sawi, disembunyikan di langit, di dalam bumi, di dalam batu yang besar ataupun di tempat tempat lain, Tuhan tetap mengetahui tentangnya. Hal ini disebutkan dalam surah Luqman ayat 16. Pendidikan Luqman ini bertujuan melahirkan perasaan muraqabah, iaitu merasai Tuhan sentiasa melihat gelagat hambanya di mana sahaja hamba itu berada. Apabila perasaan ini menguasai hati individu, ia menjadi penasihat dan penyelamat bagi individu itu.
4. Sembahyang dipentingkan. Dalam surah Luqman ayat 17, Luqman menyuruh anaknya menegakkan sembahyang secara berterusan dengan memelihara waktu-waktu dan tatacaranya, di samping mementingkan khusyuk semasa sembahyang. Sembahyang ada pengaruhnya ke atas anak-anak. Dalam surah al-Ankabut ayat 45. Tuhan menyatakan, "Sesungguhnya sembahyang dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar."
5. Berdakwah dan berperanan. Anak-anak perlu dididik supaya berperanan dengan mengaja rakan-rakan mereka kepada makruf dan mencegah mereka daripada kemungkaran. Hal ini disebutkan dalam surah Luqman ayat 17. Dengan nilai dan sikap yang betul ini, anak-anak tidak akan menjadi golongan yang terpengaruh. Sebaliknya menjadi golongan yang mempengaruhi.
6. Sabar dalam ujian. Dalam surah Luqman ayat 17, Luqman mengingatkan anaknya berkenaan kepentingan sabar dalam hidup. Sabar berkait rapat dengan sikap positif. Dengan penekanan ini, anak-anak cekal mengharungi pancaroba dan liku-liku dalam hidup. Anak-anak juga perlu diingatkan bahawa sabar adalah proses ke arah kejayaan. Nabi berkata, "Sesungguhnya kejayaan bersama-sama dengan kesabaran, kelapangan bersama-sama dengan kesusahan dan sesungguhnya berserta dengan kepayahan adalah kesenangan." Hadis ini dinyatakan oleh Imam Tirmizi.
7. Mementingkan akhlak. Dalam surah Luqman ayat 18 dan 19, Luqman menasihati anaknya supaya bersikap tawaduk dan tidak sombong semasa bergaul dengan manusia. Beliau juga mengingatkan anaknya supaya bersederhana dalam hidup dan tidak meninggikan suara semasa bercakap. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai. Akhlak mulia berkait rapat dengan iman individu. Sehubungan dengan ini, nabi pernah ditanya, "Ya Rasulullah, mukmin manakah yang lebih utama imannya?" Baginda menjawab, "Yang terbaik akhlaknya."
Apabila kita menganalisis formula pendidikan Luqman ini, kita dapat simpulkan bahawa formula ini mengandungi enam ciri penting iaitu penekanan terhadap ilmu, akidah, ibadah, fikiran positif, akhlak mulia dan dakwah.
No comments:
Post a Comment